BUTTERWORTH: Seorang pemilik pusat sauna dikenakan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan, termasuk mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan HIV dan memiliki bahan lucah dalam telefon bimbitnya.
Majistret Roshayati Radellah menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Khor Yik Keian, 57, selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dalam bahasa Mandarin.
Sekiranya gagal membayar denda, Khor bakal berdepan hukuman penjara antara lapan hingga 10 bulan.
Mengikut pertuduhan pertama, Khor didakwa mengetahui dirinya menghidap HIV namun tetap melakukan perbuatan yang mendedahkan individu lain kepada risiko jangkitan di sebuah premis di Perai pada 29 November lalu.
Kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 12(1) Akta 342 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(a) akta sama.
Pertuduhan kedua pula melibatkan pemilikan gambar serta video lucah dalam telefon bimbit Oppo Reno 11 miliknya, mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya.
Dalam prosiding berasingan, tiga lelaki – Teoh Wan Seong, 37; Ahmad Safwan Razali, 33; dan pelajar IPTA, Syed Al Aisy Syed Alfarley, 19; turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap dua mangsa termasuk Khor, di pusat sauna sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34, dan dibenarkan ikat jamin RM12,000 setiap seorang.
Selain itu, enam individu lain termasuk seorang warga China, Luo Yun, 41, turut didakwa atas pertuduhan berasingan memiliki bahan lucah dalam telefon bimbit.
Tiga daripada mereka iaitu Luo Yun, A. A. Mathiyalagan, 31, dan Mohd Redduwan Zairukaperi, 48, mengaku bersalah dan masing-masing dikenakan denda RM5,000. Yang lain dibenarkan ikat jamin RM3,000.
Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suhada Rosli.
Ketujuh-tujuh individu yang dihadapkan ke mahkamah hari ini adalah sebahagian daripada 13 suspek yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah sauna di Perai yang disyaki digunakan untuk aktiviti persundalan songsang pada 29 November lalu.










