More

    Pemilik Anjing Tak Mohon Lesen Peliharaan

    Susulan kejadian seorang bayi berusia tujuh hari digigit anjing di bahagian tangan sehingga putus, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) hari ini mengesahkan pemilik anjing tersebut tidak mempunyai lesen untuk memelihara haiwan berkenaan.

    Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu, berkata anjing jenis ‘Plott Hound’ itu sudah ditangkap dan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri untuk tindakan kuarantin selama dua minggu bagi memastikan tiada gejala penyakit anjing gila (rabies).

    “Susulan laporan diterima berkaitan kejadian itu Selasa lalu, sepasukan anggota MBMB bersama polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri ke lokasi di Taman Widuri, Bachang.

    “Berdasarkan rekod, pemilik anjing berusia 41 tahun itu tidak mempunyai lesen, malah anjing baka Jerman yang jarang dipelihara di negara ini sebenarnya tidak boleh dilesenkan.

    “Sehubungan itu, tindakan tegas di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Pelesenan Anjing akan diambil ke atas lelaki berkenaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” katanya seperti dilaporkan BH.

    Sementara itu Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr Aidi Mohamad berkata anjing berkenaan kini menjalani kuarantin selama 14 hari.

    Anjing tersebut akan dilupuskan jika terdapat tanda-tanda virus rabies.

    Tangkapan anjing jantan yang menggigit bayi berkenaan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta Binatang 1953 untuk pemerhatian penyakit anjing gila.

    “Jika tiada tanda penyakit, anjing akan diserahkan semula kepada MBMB selepas tempoh kuarantin untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Selasa lalu, seorang bayi perempuan berusia tujuh hari putus tangan kanan selepas digigit anjing peliharaan ahli keluarganya, di Bachang.

    Ketika kejadian jam 8.30 pagi itu, bayi berkenaan dijaga ibu saudara di rumah itu.

    Wanita terbabit membawa bayi berkenaan ke ruang tamu berdekatan pintu jeriji rumah untuk dikenakan cahaya matahari bagi mengurangkan gejala demam kuning.

    Sementara itu, usaha untuk menjejaki keluarga bayi malang terbabit bagi mendapatkan perkembangan terkini rawatan tangannya gagal.

    Difahamkan, semua ahli keluarga mangsa berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL), tempat bayi itu menerima rawatan.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini