KUALA LUMPUR: Gesaan supaya dua jawatan tertinggi UMNO dipertandingkan terus kedengaran di Perhimpunan Agung UMNO 2022, hari ini.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan bertegas jawatan presiden dan timbalan perlu dipertandingkan, sambil menyifatkan, pertandingan adalah perkara biasa dalam parti.
“Setuju. Memang benda itu biasa terjadi, jadi setuju semua dipertandingkan,” katanya ringkas selepas mendengar Ucapan Dasar Presiden UMNO di Dewan Merdeka hari ini.
Shahrir merupakan antara pemimpin awal dalam UMNO yang meletakkan jawatan parti sebagai Ketua Penerangan selepas parti mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.
Beliau juga antara pemimpin awal yang mendesak Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai presiden dan memikul tanggungjawab berikutan kekalahan terus UMNO.
“Yang penting bagaimana bukan hanya menyesuaikan diri dengan politik selepas PRU tetapi juga memahami bagaimana punca keputusan PRU dan apa yang perlu kita lakukan untuk pastikan perkara itu tidak berlaku lagi dan bukan terjurus lebih teruk lagi,” kata Shahrir.
Hal yanh sama disuarakan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.
Rizalman berkata, perkara tersebut tidak seharusnya menjadi polemik kerana daripada segi perlembangaan parti sudah disusun baik tentang tempoh memegang jawatan dan kaedah pemilihan.
“Pada tahun ini sepatutnya proses itu berlaku dan pada saya kita harus terbuka tentang proses ini. Saya percaya walaupun ada pemilihan kita mempunyai perwakilan dan ahli yang matang dalam membuat keputusan. Saya setuju (jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan),” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan parti itu perlu membuat pemilihan di semua peringkat jawatan tertinggi sebelum 19 Mei depan.
Jelasnya, ia ekoran permohonan parti itu untuk menangguhkan pemilihan selama enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) baru-baru ini.