Pemilihan Pengganti Azalina Sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ditangguh Lagi

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat memaklumkan usul pemilihan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang dijadualkan hari ini sekali lagi ditangguhkan.

Usul penangguhan tersebut dibuat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mencadangkan usul yang berada di perkara nombor 1 dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini, ditangguh ke persidangan akan datang.

“Bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 90 (2) dengan persetujuan Tuan Yang Dipertua, saya mengemukakan usul untuk menghentikan kuat kuasa Aturan Mesyuarat 6 iaitu bagi menangguhkan pemilihan timbalan speaker ke mesyuarat kedua yang akan datang,” katanya.

Usul itu kemudian dipersetujui secara sebulat suara oleh ahli dewan.

Untuk rekod pada 23 Ogos tahun lepas, Azalina melepaskan jawatan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Pengerang itu tetap menggalas tanggungjawab berkenaan bagu tempoh sementara waktu, sepanjang tempoh persidangan itu berlangsung.

Ketika persidangan pada 25 Okt, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ditangguhkan ke persidangan akan datang.

Menurut Wan Junaidi, usul perkara itu pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat yang lepas tetapi ditangguhkan bagi membolehkan pindaan Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan dibuat untuk menambah jumlah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada dua kepada tiga orang.

Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Dewan Rakyat hendaklah dari semasa ke semasa memilih dua orang Timbalan Yang Dipertua daripada kalangan Ahli Dewan Rakyat.

BBerkaitan

Latest articles