Pemilihan: Anwar Sahkan Pertahan Jawatan Presiden PKR

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan akan mempertahankan jawatan tertinggi parti itu dalam pemilihan peringkat pusat yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini.

Anwar yang telah menerajui PKR sejak 2007 berkata, walaupun belum mengisi borang pencalonan, tiada pencabar setakat ini yang tampil untuk merebut kerusi presiden.

“Presiden (PKR) masih kosong, saya belum daftar lagi, saya isi (borang) kemudian,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Iman dan menjamu selera bersama orang ramai di Presint 9, Putrajaya.

Kenyataan itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kedudukannya dalam parti, meskipun tumpuan kini mula beralih kepada pertandingan jawatan Timbalan Presiden yang dijangka lebih sengit — terutamanya selepas beberapa cabang mencalonkan Nurul Izzah Anwar, anak sulung kepada Anwar.

Spekulasi mengenai kemungkinan Nurul Izzah kembali ke barisan kepimpinan tertinggi parti semakin hangat, lebih-lebih lagi selepas pengunduran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari daripada saingan Timbalan Presiden.

Difahamkan, Amirudin kini menyokong pencalonan Nurul Izzah dan akan mempertahankan jawatan Naib Presiden.

Sementara itu, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR sebelum ini menangguhkan tarikh pencalonan peringkat pusat yang sepatutnya berlangsung pada 3 dan 4 Mei.

Tarikh baharu pencalonan kini dijadualkan pada 8 Mei jam 12.00 pagi hingga 9 Mei jam 11.59 malam, melalui pautan rasmi parti.

Langkah itu dipercayai memberi ruang kepada rundingan dalaman dan penstrukturan semula kekuatan kem dalam PKR, yang menyaksikan “kem Anwar” dan “kem Rafizi” kembali aktif menjelang pemilihan kali ini.

BBerkaitan

Latest articles