Selain mendakwa ia bertentangan dengan undang-undang parti, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mendakwa pemecatan dirinya dan empat ahli parlimen yang lain juga menafikan hak mereka untuk membela diri dan memberi penjelasan.
Perkara itu dimaklumkan di dalam satu kenyataan bersama Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi; Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun); Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar); Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) yang dihantar pada malam tadi.
Adakah Surat SUK Bersatu Berdasarkan Surat Pemakluman Ini ?
Kelima-lima mereka memberitahu surat bertarikh 28 Mei 2020 menyatakan telah melanggar peruntukan 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan BERSATU kerana bertindak mengambil kedudukan di Parlimen pada 18 Mei lalu sebagai wakil rakyat yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan ia melanggar Perlembagaan BERSATU.
“Peruntukan 10.2.2 menyatakan ‘mengisytiharkan keluar daripada parti’ dan 10.2.3 menyatakan ‘menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini’.
“Dilihat pada takrifan itu, amat dangkal dan tidak munasabah untuk kami dikatakan sudah keluar parti sedangkan kami hanya melaksanakan apa yang dibenarkan undang-undang dan hak kami bawah Perlembagaan Persekutuan selaku Ahli Parlimen yang sah,” demikian memetik kenyataan berkenaan.
Pemecatan kelima-lima ahli parlimen yang berkuatkuasa semalam dilakukan selepas mereka memilih untuk berada di blok pembangkang ketika sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lepas.
Surat tersebut ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya.