KUALA LUMPUR: Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff menyokong keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen pada hari ini.
Tegas beliau, tindakan itu adalah tepat pada masanya selepas 12 menteri Kabinet daripada Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bagi membantah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini.
“Kerajaan pimpinan beliau (Ismail Sabri) sendiri seolah-olah tidak menghormati beliau dan belum pernah berlaku dalam sejarah anggota kerajaan tidak menghormati seorang Perdana Menteri.
“Jadi disebabkan itu eloklah kuasa rakyat dikembalikan kepada rakyat untuk membentuk semula sebuah kerajaan yang stabil,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Dalam kenyataan yang sama juga beliau melontar pandangan terhadap keengganan beberapa buah kerajaan negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mohd Yussof berkata mereka akan menghadapi risiko untuk Pilihan Raya Negeri selepas PRU-15.
“Ia kerana segala jentera pada peringkat pusat akan digembelengkan menghadapi PRN tersebut,” kata beliau.