Pembuat Dasar Ikut Komposisi Kaum – BN Johor

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) nekad mahu mengembalikan semula kuota pembuat dasar berdasarkan komposisi kaum, sekiranya menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, akan datang.

Perkara itu disuarakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad dengan berkata, rakyat Johor diwakili 55 peratus kaum Melayu, 40 peratus Cina dan lima peratus kaum India.

Merujuk kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada tahun 2018 yang lalu, Hasni berkata ia tidak mencerminkan kedudukan pembuat dasar negeri berdasarkan komposisi kaum memandangkan wakil kerajaan hampir keseluruhannya Melayu, seorang Cina manakala wakil pembangkang pula kebanyakannya Cina.

“Apabila berbahas (di Dewan Undangan Negeri), ia membabitkan antara wakil rakyat Melayu dan wakil rakyat Cina. Jadi keadaan sebelum PRU-14 perlu dikembalikan semula.

“Inilah cabaran besar pada saya yang perlu ditangani,” katanya memetik temubual bersama MalaysiaGazette.

Bagi mencapai hasrat itu, BN perlu memberi pertimbangan untuk mencalonkan MCA di kawasan majoriti Melayu dan mahu calonnya mesti menang supaya parti komponen BN itu mempunyai wakil dalam badan pembuat dasar negeri.

”Jika tidak, keseimbangan tidak akan berlaku dan ini bukan Johor kerana selama ini Johor memiliki pembuat dasar yang seimbang.

“Dulu ada dua Exco MCA, sekarang kena pinjam orang. Perkara itu sangat menyedihkan, ujar Hasni.

Malah kempen BN bagi PRN Johor kelak akan membawa hasrat itu kepada rakyat supaya pengundi-pengundi fahaman berhubung perkara ini.

“Mereka mereka memahami, saya berharap rakyat memberi sokongan padu dalam bentuk undi mereka nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Hasni berkata, proses mencadangkan calon-calon masih berjalan di peringkat Bahagian UMNO.

“Bahagian akan memilih dua atau tiga calon untuk kita putuskan kemudian. Namun, tidak semestinya calon-calon itu akan dipilih kerana kita boleh juga memilih mereka yang tidak dicalonkan.

“Paling penting, calon tersebut disenangi dan boleh memberi khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya sambil memberitahu UMNO Johor dalam momentum terbaik dalam persediaan menghadapi PRN.

BBerkaitan

Latest articles