Pemborong Telur Mengeluh Sukar Penuhi Permintaan Pelanggan Ekoran Bekalan Terhad

KUALA LUMPUR — Kekurangan bekalan telur ayam terus menghimpit pemborong apabila bekalan yang ada dilihat masih tidak dapat mengatasi permintaan.

Bagi pemborong telur dari Perak, Rosmaliza Syahida, 38 tahun, beliau turut mengalami nasib yang sama.

Pada kebiasaannya, beliau mampu memperolehi bekalan telur sehingga 1,000 papan seminggu.

Namun kini kadar bekalannya semakin berkurangan kepada sekitar 300 hingga 400 papan sahaja seminggu.

Ujar Rosmaliza, bekalan telur yang semakin menyusut turut menjejaskan pengguna kerana beliau terpaksa mengutamakan pelanggan tetap iaitu peniaga-peniaga kedai runcit dan pembuat kek dengan jumlah yang dihadkan.

“…bekalan telur setakat ini di pasaran sangat merudum la. di kedai-kedai runcit pun tiada bekalan. kalau ada pun mereka utamakan kepada peniaga. jadi suri rumah pergi untuk mendapatkan telur susah sikit la. mereka utamakan kepada peniaga dulu untuk telur tu.

“…sebagai pemborong telur setiap minggu contoh saya ambil seribu papan saya akan dapat dalam 300 ke 400 papan saja. jadi ia tidak boleh menampung jumlah untuk dihantar kepada peniaga-peniaga kedai runcit.

Rosmaliza yang juga mengendalikan syarikat pemborong miliknya “Adikabang Farm Enterprise” selama dua tahun itu turut mengakui harga telur yang rendah ditetapkan kerajaan sebelum ini menyebabkan pengilang tidak dapat mengeluarkan jumlah telur yang banyak.

Justeru itu katanya, bagi mengatasinya pengilang memerlukan harga siling yang tinggi kerana kos yang ditanggung mereka juga tinggi.

“…untuk mengatasinya kerajaan perlu berikan subsidi yang tinggi. kalau pengilang perlu naik harga telur ayam kerajaan pun perlu bagi subsidi yang tinggi. ia untuk pengguna juga yang majoriti di malaysia ini tidak ramai yang berkemampuan. memang telur tu berapa sen sangat 45 sen 35 sen saja satu biji tapi kalau orang yang nak buat kek perlukan telur kalau kos tu pun dah tinggi makna harga makanan pun dah tinggi.

Pada penghujung Ogos lalu, Pengerusi Pasukah Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa mengumumkan harga siling RM9.40 sekilogram bagi ayam bulat segar tempatan, manakala subsidi 3 sen untuk telur dikekalkan selepas 31 Ogos.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga telur ayam bagi gred A pada 45 sen sebiji, gred B (43 sen sebiji) dan gred C (41 sen sebiji) yang berkuat kuasa pada 1 Julai untuk tempoh dua bulan.

BBerkaitan

Latest articles