Pembinaan Kuil Di Jalan Rahmat Bukan Kegunaan Awam, Hanya Sementara

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan pembinaan struktur kuil sementara di Jalan Rahmat (Off Jalan Ipoh) hanya untuk kegunaan peribadi pemilik, dan bukan untuk akses awam.

Menerusi satu kenyataan media, Unit Media DBKL itu memaklumkan pembinaan kuil sementara itu dilakukam sementara menunggu pembangunan semula tapak sebagai kompleks komersil.

Dalam kenyataannya, DBKL menjelaskan bahawa struktur tersebut adalah penempatan sementara bagi dewa-dewa kuil kecil sedia ada.

Pemilik kuil pula telah memberi jaminan bahawa struktur sementara itu akan dialihkan dan segala peraturan DBKL akan dipatuhi.

“Kami telah mengarahkan pemilik untuk mengemukakan permohonan kebenaran merancang secara rasmi untuk pertimbangan pihak berwajib,” katanya.

DBKL turut mengambil maklum tentang pembinaan struktur yang dijalankan tanpa kelulusan di tapak milik persendirian tersebut.

Beberapa notis penguatkuasaan telah dikeluarkan, termasuk arahan Stop Work Order dan tindakan seal mengikut Akta 267 serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Hasil siasatan di tapak mendapati kerja pembinaan tersebut telah dihentikan buat masa ini.

Kelmarin, seramai 200 penduduk setempat telah mengadakan perhimpunan aman bagi mendesak DBKL mengambil tindakan tegas, termasuk perobohan binaan kuil tersebut.

Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Prof Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, menegaskan bahawa pembinaan kuil yang terletak kurang 10 meter dari surau PERKIM telah mengundang keresahan.

Beliau menambah, struktur kuil tersebut yang berhadapan dengan surau mengganggu aktiviti dakwah dan menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan umat Islam setempat.

BBerkaitan

Latest articles