Pemberian wang tunai secara sekali bayar atau one-off melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) direkodkan mencapai tahap pelaksanaan tinggi pada kadar 94 peratus dengan pembayaran sebanyak RM14.7 bilion.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pemberian itu melibatkan bantuan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Sara Hidup (BSH), pemandu e-hailing dan teksi, pesara kerajaan dan lain-lain.
Beliau berkata, bagi inisiatif yang membabitkan pelaksanaan dalam jangka masa antara tiga hingga enam bulan di bawah PRIHATIN seperti diskaun bil elektrik, subsidi upah, moratorium, eCAP Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain yang membabitkan penyaluran RM108 bilion pula, pelaksanaan adalah mengikut jadual pada tahap 85 peratus.
BACA JUGA : SPR Akan Umumkan Tindakan Selanjutnya Kekosongan Kerusi Batu Sapi
Katanya, pemberian tunai secara ‘one-off’ di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), seperti e-Penjana, bantuan kepada golongan terjejas, geran secara ‘one-off’ kepada pengendali taska dan tadika yang berdaftar dan lain-lain, yang membabitkan pembayaran sebanyak RM647 juta pula, tahap pencapaian pelaksanaan adalah pada kadar yang tinggi iaitu 68 peratus.
“Bagi inisiatif yang membabitkan pelaksanaan dalam jangka masa antara tiga hingga enam bulan pula, seperti lanjutan subsidi upah (asal), My30, PEKA B40, Shop Malaysia online dan lain-lain, yang membabitkan penyaluran sebanyak RM4.27 bilion, pelaksanaan adalah mengikut jadual pada tahap 43 peratus.
“Ini adalah tahap yang memberangsangkan memandangkan inisiatif PENJANA telah mula dilaksanakan secara berfasa antara Jun dan September,” katanya dalam Laporan LAKSANA ke-24, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, sebanyak 99,694 tuntutan diterima berjumlah RM6.64 juta bagi Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PEKA B40) antara 1 Julai sehingga 25 September 2020.
Beliau berkata, setakat 25 September 2020, sebanyak RM11.93 bilion subsidi upah telah diluluskan yang memanfaatkan lebih 2.6 juta pekerja.
Mengenai Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan dengan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion, Tengku Zafrul berkata, secara keseluruhannya seramai 43,998 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program itu.
Jumlah itu, jelasnya merangkumi 34,476 orang di bawah umur 40 tahun, 5,456 orang bagi golongan berusia di antara 40 hingga 60 tahun, 284 Orang Kelainan Upaya (OKU) dan 3,782 perantis.