Pemberian Subsidi Mungkin Melalui Pindahan Tunai Kepada Penerima

KUALA LUMPUR: Mekanisme baru berhubung pemberian subsidi akan diumumkan kerajaan tidak lama lagi, demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata antara mekanisme yang sedang dipertimbangkan adalah pemindahan wang tunai terus kepada mereka yang layak.

Beliau juga membayangkan peruntukan subsidi lebih cekap bagi mengelakkan ketirisan dan manfaat kepada orang asing.

“Cadangan untuk cash transfer (pindahan tunai) sedang dipertimbangkan untuk urusan-urusan lain dan mungkin akan diumumkan.

“Sama ada cara langsung kepada rakyat melalui cash transfer yang memang difikirkan dalam beberapa isu lain, kita akan umumkan (peruntukan) lebih besar bagi mengelakkan ketirisan dan manfaat kepada orang asing,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai cadangan mengedarkan wang tunai terus kepada rakyat berbanding memberi subsidi kepada syarikat.

Dalam pada itu, Anwar berpandangan cadangan pengedaran tunai adalah cadangan baik kerana ia pernah diperkenalkan dulu namun tidak praktikal untuk semua pihak dan penelitian perlu dilakukan.

Bagaimanpun, beliau menafikan perubahan terhadap pendekatan subsidi meminggirkan golongan berpendapatan tinggi dan 3.5 juta orang asing.

“Bukan soal saya anti maha kaya, bukan soal cukai tambahan kepada mereka, maksudnya subsidi itu tidak kepada golongan maha kaya, itu sahaja.

“Kalau pendapatan RM100,000 sebulan ke atas, subsidi tidak patut diberi kepada dia. Dalam konteks ini, bagaimana kita boleh elak, dimanfaat semata-mata rakyat.

“Dia (pekerja asing) datang sini dapat gaji bukan subsidi, kita ada dasar munasabah dan adil kepada semua termasuk bukan warganegara, tapi, tidak harus mana-mana negara beri subsidi kepada warga asing, jadi, prinsip adalah subsidi dipulangkan kepada rakyat, subsidi ini macam sedekah, tak munasabah bagi sedekah kepada orang asing dan orang kaya, ini prinsip yang harus ada untuk penyasaran subsidi,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles