Pembelaan Najib Tampil Bongkar Percanggahan Saksi Pendakwaan, Tekankan Bukti Derma Saudi Tidak Direka

KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak pada Isnin menegaskan wujud percanggahan ketara dalam keterangan saksi-saksi pendakwaan dalam perbicaraan akhir kes penyelewengan dana 1MDB, khususnya berkaitan isu derma daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Peguam Najib, Dato’ Hasnal Rezua Merican, berkata bahawa dua saksi utama pendakwaan, iaitu Joanna Yu dari AmBank dan bekas pegawai Jho Low, Jasmine Loo, telah memberikan dua versi cerita yang saling bercanggah berhubung asal-usul empat surat sumbangan Arab Saudi yang menjadi isu utama dalam kes itu.

Menurut Joanna Yu, keempat-empat surat derma tersebut telah diterima oleh AmBank menjelang Jun 2014, manakala Jasmine Loo pula mendakwa surat-surat itu dipalsukan pada Januari 2015 di Mayfair, London, oleh Kee Kok Thiam, atas arahan Jho Low.

“Maknanya, pihak pendakwaan sendiri membawa dua cerita yang bercanggah. Bagaimana surat yang sudah diterima pada Jun 2014 boleh dikatakan dipalsukan pada Januari 2015?” kata Hasnal di video penerangannya selepas perbicaraan hari pertama kes membabitkan Bekas Perdana Menteri itu hari ini.


Swift Confirmation Tidak Boleh Direka

Hasnal turut menegaskan bahawa walaupun Jasmine Loo mendakwa surat-surat itu palsu, dokumen pengesahan transaksi antarabangsa atau swift confirmation tidak mungkin boleh dipalsukan.

Bukti swift yang dikemukakan sendiri oleh pihak pendakwaan menunjukkan bahawa dana yang dimasukkan ke dalam akaun Najib datang daripada akaun milik Kementerian Kewangan Arab Saudi dan anak-anak Raja Arab Saudi, termasuk Putera Faisal Turki bin Bandar Al Saud.

“Swift confirmation ini bukan dokumen rekaan. Ia datang terus daripada bank-bank di Arab Saudi. Tiada siapa boleh cipta transaksi antarabangsa seperti ini,” jelas Hasnal.

Beliau menambah, Najib juga tidak pernah menyembunyikan penerimaan dana tersebut kerana akaun itu dibuka atas nama sendiri, tujuan akaun dimaklumkan kepada AmBank dan Bank Negara, malah selepas itu Najib memulangkan semula USD620 juta daripada jumlah keseluruhan USD681 juta yang diterima.

“Kalau ini skim untuk menyeleweng, mengapa beliau maklumkan kepada bank dan Bank Negara? Semua dibuat secara telus dan direkodkan,” katanya.

Pegawai SPRM dan Polis Temui Wakil Keluarga Diraja Arab Saudi

Mahkamah turut diberitahu bahawa pasukan siasatan Malaysia sendiri telah berjumpa dengan wakil keluarga diraja Arab Saudi semasa misi rasmi ke Riyadh.

Antara pegawai yang terlibat ialah Tuan Fikri Abdul Rahim, Muhammad Nasharudin Amey, dan Datuk Muhammad Hafaz Nazar daripada SPRM, diketuai oleh Tan Sri Azam Baki. Turut serta kemudian ialah pegawai Polis Diraja Malaysia, termasuk SAC Raja Gopal.

Rombongan itu bukan sahaja dilayan sebagai tetamu rasmi oleh kerajaan Arab Saudi, malah dibiayai sepenuhnya, termasuk penginapan, kenderaan, dan penerbangan khas dari Mekah ke Riyadh menggunakan jet peribadi kerajaan Arab Saudi.

Di Riyadh, mereka menemui Muhammad Al-Khoman, wakil kepada Putera Saud, yang mengesahkan bahawa Raja Abdullah sendiri memberi amanah supaya sumbangan disalurkan kepada Najib melalui dua puteranya.

“Keterangan daripada SPRM dan polis mengesahkan bahawa sumbangan ini adalah benar, bukan rekaan. Ia datang daripada keluarga diraja Arab Saudi,” jelas Hasnal.

Pembelaan Cabar Kredibiliti Jasmine Loo

Hasnal berhujah bahawa keterangan Jasmine Loo tidak boleh diterima sebagai kredibel, kerana bukan sahaja bercanggah dengan Joanna Yu, malah disangkal oleh saksi lain dan bukti rasmi yang dikemukakan.

Beliau juga mendedahkan bahawa Kee Kok Thiam, yang didakwa memalsukan surat-surat tersebut, telah memberi kenyataan rasmi kepada SPRM sebelum meninggal dunia, namun tidak pernah menyebut berada di Mayfair atau terlibat memalsukan dokumen.

“Pendakwaan membawa dua saksi yang beri dua versi berbeza. Ini menunjukkan Jasmine Loo tidak bercakap benar,” kata Hasnal.

Menurutnya lagi, semua tindakan Najib — daripada membuka akaun secara rasmi, memaklumkan tujuan akaun kepada pihak bank, sehinggalah memulangkan semula dana yang tidak digunakan — membuktikan beliau benar-benar percaya bahawa dana itu merupakan sumbangan sah daripada keluarga diraja Arab Saudi.

“Tidak ada rumah mewah, tidak ada lukisan Picasso, tidak ada patung berjuta-juta seperti yang dibuat oleh Jho Low. Semua wang digunakan untuk tujuan sosial dan politik seperti yang dijanjikan,” katanya.

Mahkamah Perlu Nilai Semula Bukti dan Keterangan

Hasnal menegaskan bahawa kini tiba masanya untuk mahkamah menilai semula semua keterangan yang dibentangkan, memandangkan dua saksi pendakwaan sendiri bercanggah, sementara bukti-bukti rasmi menunjukkan sumbangan itu datang daripada Arab Saudi.

“Keterangan Jasmine Loo sudah disangkal. Bukti swift dan siasatan rasmi mengesahkan dana itu benar. Sekarang mahkamah perlu menentukan keterangan mana yang lebih kukuh,” katanya.

Hujahan pembelaan bersambung esok di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

BBerkaitan

Latest articles