Pembekuan Akaun: Mahkamah Benar Bersatu Cabar SPRM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan kebenaran semakan kehakiman Bersatu untuk mencabar keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membekukan dua akaun partinya.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat ketetapan itu dalam prosiding atas talian pagi ini dan akan mendengar merit permohonan berkenaan.

Pada 19 April lu, Bersatu mendakwa akaun bank CIMB dan AmBanknya disita tanpa sebarang perintah penyitaan dikeluarkan mengikut Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ia turut mendakwa SPRM mengeluarkan kenyataan pada 20 April bahawa kedua-dua akaun itu disita pada 11 April tetapi tidak pernah memaklumkan kepada mereka mengenai tarikh berkenaan.

Kemudian pada 7 September lepas, peguam mewakili Bersatu, Rosli Dahlan dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili SPRM menyampaikan hujah masing-masing berkait permohonan tersebut.

Rosli dalam hujahnya berkata, sehingga kini Bersatu tidak menerima apa-apa perintah sitaan, justeru parti mahu tahu mengapa tindakan (sita) itu diambil terhadap mereka.

Hujahnya, sudah empat bulan sejak SPRM membuat pengumuman awam mengenai pembekuan itu.

“Dalam isu Bersatu, semua wang masuk ke dalam akaun parti dan tidak masuk ke dalam akaun individu,” kata Rosli.

Manakala Shamsul dalam hujah balasnya berkata pengeluaran perintah penyitaan itu tidak boleh diterima untuk semakan kehakiman.

“Aduan berkaitan akaun bank Bersatu yang dibekukan dan seterusnya disita adalah dalam bidang kuasa mahkamah jenayah,” ujarnya.

Pada 29 Mei, Datuk Muhammad Suhaimi Yahya, sebagai pegawai awam Bersatu memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan SPRM membekukan akaun banknya untuk siasatan.

Beliau menamakan Peguam Negara (ketika itu) Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki masing-masing sebagai responden pertama dan kedua serta 20 individu lain sebagai responden ketiga hingga ke-22.

BBerkaitan

Latest articles