KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor menganggap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan beliau daripada semua 17 pertuduhan hari ini sebagai hadiah hari jadi yang sangat istimewa buat dirinya
“Ini juga untuk Bossku. Sudah tentu saya akan beritahu dia (Najib),” ujar Rosmah yang ditemui di perkarangan mahkamah, pagi ini.
Rosmah menyambut ulang tahun kelahiran ke-73 pada 10 Disember lalu.
Pagi ini, Hakim K. Muniandy membuat keputusan untuk melepas dan membebaskan Rosmah daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ini selepas beliau membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri agar kesemua 17 pertuduhan terhadapnya digugurkan.
Dalam pada itu Rosmah juga meminta agar dirinya diberikan ruang setelah mengharungi masa sukar sepanjang perbicaraan berlangsung.
“Bagi lah saya rehat sekejap, bernafas sikit. Syukur alhamdulillah, semuanya telah selesai,” katanya.
Rosmah turut mengucapkan terima kasih kepada hakim yang disifatkan telah memberikan satu keputusan yang tepat dan keadilan itu sepatutnya diterima oleh orang lain.
Beliau turut berterima kasih kepada pasukan peguam bela yang bertungkus lumus mewakili beliau sepanjang prosiding perbicaraan.
“Dari hari pertama lagi, pasukan peguam telah memberitahu, kes saya ini tiada asas. Namun kita tidak tahu. Kita tidak sepatutnya bermain-main dengan keadilan,” ujar beliau.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata, pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.