Pembantu Rumah Mengamuk, Majikan Putus Ibu Jari

KUANTAN: Seorang lelaki berusia 28 tahun putus ibu jari tangan kiri selepas diserang pembantu rumah warga Filipina di kediamannya di Kota Sultan Ahmad Shah (Kotasas), pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar 8.30 pagi, mangsa yang bekerja sebagai Eksekutif Kanan dikatakan bergelut dengan suspek sebelum ibunya berusia 57 tahun yang berada di tingkat atas rumah turun untuk membantu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pergaduhan itu disedari selepas si ibu mendengar jeritan anaknya dari tingkat bawah.

“Wanita berkenaan bergegas turun dan mendapati anaknya bergelut dengan pembantu rumah mereka di ruang tamu. Ketika cuba meleraikan, suspek bertindak melibas sebilah pisau sehingga terkena kepala mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, wanita itu berjaya merampas senjata berkenaan, namun suspek kemudian cuba mengambil pisau lain di dapur hingga berlaku pergelutan kali kedua.

Akibat kejadian itu, mangsa putus ibu jari kiri serta mengalami luka di kepala dan kaki, manakala ibunya turut cedera di tangan kiri.

“Pemeriksaan turut menemui kesan kelaran pada pergelangan tangan kiri suspek, dipercayai akibat cubaan membunuh diri selepas kejadian,” jelas Ashari.

Suspek berusia 44 tahun itu kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dengan senjata berbahaya. Polis akan mendapatkan perintah reman hari ini.

Kedua-dua mangsa dan suspek dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.

Tambah Ashari, polis turut merampas enam bilah pisau dan sebilah gunting dari lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati punca pergaduhan mungkin berpunca daripada tekanan dihadapi suspek ketika bekerja dengan majikannya, namun motif sebenar masih disiasat.

BBerkaitan

Latest articles