Pembangunan Hab Logistik Di Kluang Beri Manfaat Kepada Masyarakat Setempat

KLUANG: Lonjakan ekonomi setempat dan tawaran peluang pekerjaan kepada masyarakat Kluang dan sekitarnya bakal dinikmati apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bakal menjadi hab logistik Johor.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, projek berimpak tinggi seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) melahirkan keyakinan kemajuan di kawasan berkenaan akan membawa kesan positif kepada rakyat dan negeri.

“Terdapat maklum balas kerajaan negeri hanya tumpu pembangunan di kawasan selatan Johor, daerah-daerah lain tidak diberikan tumpuan, saya hendak nyatakan itu adalah fakta yang tidak benar.

“Saya lihat kawasan daerah Kluang ini akan jadi hab logistik untuk negeri. Ini kerana Kluang berada di tengah-tengah Johor dan pelbagai projek infrastruktur sedang berjalan.

“Antaranya Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik Gemas-Johor Bahru, pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan naik taraf jalan Persekutuan,” katanya pada sesi temubual di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor di Saujana, pada Selasa.

YTL, menerusi satu kenyataan sebelum ini menyataan, sehingga 27 Jun lalu, Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik Gemas-Johor Bahru telah siap 97 peratus.

Pencapaian yang direkodkan dari September 2020 hingga Mei 2024 itu telah menyerlahkan kejayaan projek dalam mengekalkan standard keselamatan dan mencapai sasaran 28 juta jam kerja selamat tanpa sebarang kemalangan.

Untuk rekod, Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik Gemas-Johor Bahru adalah projek perkhidmatan tren elektrik sepanjang 192 kilometer meliputi empat daerah utama di Johor iaitu Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru dengan kos keseluruhan RM8.9 bilion seperti yang diumumkan kerajaan pada Disember 2016.

Dalam pada itu, Onn Hafiz memberitahu kerajaan mengambil berat isu kesesakan di bandar Kluang.

Sehubungan itu kerajaan mengambil inisitif akan membina satu jalan pintasan dengan peruntukan berjumlah RM60 juta.

Jelasnya, jalan pintasan sepanjang 2.1 kilometer (km) itu akan dibina dari Taman Muhibah ke Layang yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 pengguna jalan raya setiap hari.

Menurut Onn Hafiz, peruntukan daripada kerajaan Persekutuan untuk membina jalan pintasan tersebut sudah dimohon sejak dua tahun lalu dan dijangka diluluskan dalam tahun ini.

“Ini akan menjadi ‘game changer’ (pemangkin perubahan) yang memastikan kesesakan dapat di kurangkan. Pengguna jalan raya tidak perlu lagi masuk ke pusat bandar sebaliknya menggunakan jalan pintasan,” katanya.

Dalam pada itu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, Kluang menerima peruntukan RM122 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan termasuk DUN Mahkota.

Jelasnya, peruntukan kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan jalan negeri berjumlah RM26 juta, jalan pihak berkuasa tempatan (RM32 juta), jalan Persekutuan (RM59 juta) dan lampu isyarat sera lampu jalan (RM2 juta).

Dalam pada itu, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon memberitahu, Kluang setakat ini sudah menerima peruntukan RM305,000 untuk bidang kesihatan.

Katanya, ini melibatkan bantuan untuk bantuan kepada 61 pantri klinik dan hospital selain tiga program klinik bergerak maju Johor serta skim ubat pos melibatkan 1,1171 penerima.

BBerkaitan

Latest articles