KUALA LUMPUR: Perancangan pembangunan bandar di Malaysia mesti mengekalkan identiti negara, khususnya dalam aspek kesenian dan kebudayaan, di samping penggunaan teknologi moden dan canggih, demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain memastikan perancangan bandar yang teratur dan tersusun, Anwar menambah setiap bandar-bandar di Malaysia harus mempunyai corak dan keunikan tersendiri yang membezakannya daripada kota besar lain seperti London dan Tokyo.
Beliau juga menekankan pentingnya elemen persekitaran hijau dan keselesaan rakyat disertakan di dalam perancangan, agar tidak wujud jurang besar dalam kalangan masyarakat.
“Kita perlu memastikan bandar-bandar di Malaysia memiliki identiti yang unik dan tersendiri. Saya menyeru para perancang bandar untuk memberi perhatian serius agar kita dapat berbangga dengan pembangunan yang menyeluruh,” katanya dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Perancangan 2024 yang turut dihadiri oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.
Dalam masa yang sama, Anwar, yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan keperluan penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) untuk memperkukuh perancangan bandar, sambil memastikan jurang antara golongan kaya dan masyarakat biasa dapat diminimumkan.
Sehubungan itu semua pihak, termasuk perancang bandar, penjawat awam, dan komuniti perniagaan, digesa untuk memanfaatkan peluang bagi menumpukan sepenuhnya kepada agenda pembangunan negara.
“Fokus kita harus kekal pada pembangunan, perubahan, dan anjakan besar yang sedang berlaku. Politik perlu stabil dengan polisi ekonomi yang jelas, dan kita perlu berusaha sebaik mungkin untuk memperbaiki setiap bidang,” kata beliau.
Anwar juga mengingatkan bahawa negara kini berdepan cabaran dalam era pascanormal, dengan ketidakpastian global yang memerlukan pendekatan proaktif daripada semua pihak.
Dalam majlis tersebut, Abang Johari menerima Anugerah Felo Kehormat Pertubuhan Perancang Malaysia atas wawasan dan dedikasinya dalam membangunkan Sarawak.
Anwar memuji Abang Johari sebagai seorang tokoh yang membuktikan kestabilan politik dan fokus kepada pembangunan mampu menghasilkan kejayaan besar.
“Abang Jo adalah contoh pemimpin berwawasan yang berupaya meneroka idea dan dasar baru, tidak terikat dengan pendekatan lama, dan sentiasa mencari jalan inovatif. Ini terbukti melalui hasil cemerlang dalam bidang tenaga, yang memberi manfaat besar kepada negeri,” katanya.
Majlis tersebut menjadi platform penting bagi menghargai perancang bandar yang menyumbang kepada pembangunan negara, dengan menekankan perlunya perpaduan dan fokus kepada usaha memperkukuhkan masa depan Malaysia.