KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) telah mencapai kesepakatan berhubung calon Perdana Menteri, demikian peringatan Ketua UMNO bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.
Sehubungan itu pembangkang digesa menghentikan tohmahan bahawa BN masih keliru dalam calon PM, sedangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah satu-satunya calon jawatan itu jika gabungan berkenaan menang PRU15.
“Pihak pembangkang tidak perlu campur urusan dalaman UMNO berkaitan soal calon Perdana Menteri.
“Parti telah membuat keputusan jelas menamakan Ismail sebagai calon Perdana Menteri dan disambut baik hampir tiga perempat bahagian UMNO di seluruh negara.
“Tindakan pembangkang menamakan (Pengerusi BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah untuk megelirukan pengundi,” katanya.
Sebelum ini UMNO kekal menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri jika BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bahkan pendirian itu ditegaskan berkali-kali oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Rizalman dalam masa yang sama berkata pada ketika ini pembangkang cuba menimbulkan persepsi bahawa wujud masalah antara Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
“Satu undi untuk BN, satu undi untuk Perdana Menteri bagi membolehkan belanjawan 2023 yang dibentang dapat dilaksanakan.”