BANGI: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengakui beliau sedar bahawa pembangkang ingin menggunakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri untuk menukar kerajaan sedia ada.
Ini kerana jelas beliau, selepas mereka gagal membuktikan mereka mempunyai angka mencukupi untuk membentuk kerajaan sebelum ini.
“Nak ambil alih untuk betulkan ekonomi? Mereka dulu lagi haprak jaga ekonomi,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Jentera Perpaduan Selangor di sini malam ini.
Turut hadir timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan semua jentera parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan bekerja keras memastikan kemenangan gabungan itu pada PRN bulan depan.
Dalam hal itu, Anwar berkata, Selangor perlu menjadi pembuka lembaran baharu politik negara dengan gerak kerja yang lebih padu dan tersusun daripada setiap ahli serta pendokong parti di dalam PH dan Barisan Nasional (BN), khususnya bagi menawan hati pengundi yang sebahagiannya daripada golongan cerdik pandai.
Beliau berkata, kemenangan di Selangor tidak hanya berkisar kepada kejayaan PH dan BN semata-mata, sebaliknya ia menjadi simbol kepada usaha Kerajaan Perpaduan mengangkat martabat Malaysia kembali disegani di rantau ini.
“Selangor ini negeri yang ramai dengan orang?aeyang cerdik pandai serta matang dalam politik…,negeri ini akan menentukan standard baharu politik di dalam negara ini.
“Jadi kita mahu setiap gerak kerja yang dibuat perlulah dengan semangat, keikhlasan selain niat yang betul untuk menyelamatkan rakyat, negeri, agama dan negara daripada mereka yang rakus kuasa,” katanya.