Pembangkang Ketinggalan Kemuka Calon Muda

 

KUALA LUMPUR: UMNO-Barisan Nasional (BN) sudah lama mengambil tindakan memperkenalkan calon-calon muda dalam pilihan raya, demikian menurut Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

Malah, dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada bulan hadapan, isu mengangkat calon muda bukanlah satu perkara yang baru buat parti itu, jika hendak dibandingkan dengan pembangkang.

Sebab itu, jelas beliau, BN tidak pernah pupus pemimpin akar umbi dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan profesional, berpendidikan mahupun masyarakat biasa.

“Apabila pihak lawan cuba mengaitkan calon muda sebenarnya mereka yang baharu mengetengahkannya, sedangkan BN sudah lama amalkan.

“Sebagai contoh, Datuk Seri Najib (Tun Razak) diangkat sebagai calon bertanding pada usia muda dan menjadi Menteri Besar (Pahang) pada usia 28 tahun,” katanya memetik wawancaranya bersama UMNO Online, hari ini.

Dalam masa yang sama, Mohd Hairi turut menolak dakwaan pembangkang yang menjadikan alasan pengundi luar termasuk di Singapura sukar pulang mengundi dalam PRN ini kerana Covid-19.

Katanya, pembangkang juga mendakwa, pengundi luar tidak boleh pulang ke Johor ketika PRN nanti.

Beliau kemudiannya menimbulkan persoalan apakah kesemua pengundi yang di luar negara itu merupakan penyumbang kepada undi mereka.

“Mana mungkin semua pengundi luar itu akan mengundi pembangkang, ada juga pengundi dan penyokong BN-UMNO.

“Jadi, saya harap pengundi bijak untuk mencari kestabilan politik dan negeri bagi memastikan negara ini kembali makmur serta selamat,” katanya.

Mengenai gerak kerja Pemuda UMNO Johor, beliau menyatakan, semuanya berjalan lancar.

Malah, jentera Pemuda telah digerakkan di setiap bahagian termasuk yang secara sukarelawan datang untuk membantu memberi kemenangan kepada BN.

BBerkaitan

Latest articles