Pemandu Pelancong Cabul Pelancong Ketika Memancing, Selam Snorkel

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki melakukan gangguan seksual terhadap dua pelancong wanita asing di sebuah pulau peranginan di Semporna, Sabah.

Ketua Polis Semporna, Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata pemandu pelancong yang berusia 27 tahun itu ditahan 7.30 malam, semalam selepas dua mangsa membuat laporan.

Katanya berdasarkan keterangan dua mangsa berusia 18 dan 22 tahun itu, kejadian berlaku ketika mereka memancing dan menyelam snorkel di pulau peranginan berkenaan.

“Kejadian pertama didakwa berlaku ketika mereka memancing kira-kira 10.12 pagi, manakala kejadian berikutnya pada 3.30 petang semasa melakukan aktiviti snorkeling,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata siasatan menunjukkan suspek ialah pendatang tanpa izin yang tiada sebarang dokumen pengenalan diri serta permit kerja sah.

Katanya, polis turut menahan pengurus syarikat pelancongan yang mengambil suspek bekerja tanpa dokumen dan permit sah.

Beliau berkata kedua-duanya direman empat hari hingga 27 Okt ini untuk siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(C) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

BBerkaitan

Latest articles