Pemandu mabuk bakal berdepan hukuman berat penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM150,000 jika pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) diluluskan Dewan Rakyat.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata mereka yang disabitkan dengan kesalahan juga boleh digantung lesen memandu sehingga 20 tahun.
“Kita sudah mencadangkan kadar penjara maksimum dengan pindaan 15 tahun untuk kesalahan pertama dan 20 tahun bagi kesalahan berikutnya.
“Kadar denda dicadangkan dinaikkan maksimum RM20,000 sekarang kepada RM100,000 untuk kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua boleh dikenakan denda RM150,000.
BACA LAGI – Sudah Cukup Orang Terkorban Dek Pemandu Mabuk, Kenyataan PM Muhyiddin Yassin Amat Ditunggu-Tunggu
“Tempoh penggantungan lesen juga dicadang dinaikkan dari 10 tahun kepada 20 tahun,” katanya ini, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Wee Ka Siong, kadar kematian yang disebabkan kecuaian pemandu mabuk pada tahun ini sahaja membimbangkan iaitu seramai 12 orang.
Rakyat di merata-rata tempat di negara ini menuntut satu langkah tegas oleh kerajaan untuk meminda undang-undang sedia ada untuk memberikan hukuman lebih berat dan setimpal kepada pesalah yang menyebabkan kematian.
Kemalangan seperti itu menyebabkan keluarga kehilangan ketua untuk mencari rezeki serta nyawa orang yang tidak berdosa melayang begitu sahaja.