Pemandu Mabuk Boleh Didakwa Membunuh – Peguam

KLANG: Tindakan memandu dalam keadaan mabuk bukan sekadar kesalahan lalu lintas biasa, malah boleh membawa kepada pertuduhan membunuh jika mengakibatkan kematian orang lain.

Peguam kanan, Muhammad Hasif Hasan menjelaskan bahawa individu yang menyebabkan kematian ketika memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah berpotensi didakwa di bawah Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, walaupun tertuduh mungkin tidak berniat untuk membunuh, undang-undang tetap membolehkan pertuduhan dikenakan kerana perbuatan itu diketahui sangat berbahaya dan hampir pasti membawa maut.

“Apabila seseorang sedar dirinya tidak layak memandu kerana mabuk tetapi masih mengambil risiko, itu sudah cukup untuk dianggap sebagai perbuatan yang boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Beliau menambah, tindakan seperti memandu laju, memotong di garisan berkembar serta memasuki laluan bertentangan hanya meningkatkan risiko kemalangan maut.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan kuasa untuk menentukan pertuduhan terletak pada pihak pendakwa raya, selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah.

Bagi memudahkan pemahaman, beliau membuat analogi perbuatan membuang objek berat seperti peti sejuk dari tingkat tinggi di kawasan awam.

Walaupun tiada niat khusus untuk membunuh, pelaku sepatutnya sedar perbuatan itu hampir pasti akan meragut nyawa jika terkena orang di bawah.

“Situasinya sama – risiko kematian itu jelas dan boleh dijangka,” katanya lagi.

Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, pesalah berdepan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.

Penjelasan itu dibuat susulan persoalan ramai mengenai hukuman terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

Kes ini merujuk kepada insiden yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal, Amirul Hafiz Omar, 33, dalam kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang.

Mangsa maut selepas motosikalnya dirempuh sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu lelaki tempatan berusia 20-an.

Siasatan awal mendapati pemandu tersebut memandu dalam keadaan berbahaya, termasuk memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

BBerkaitan

Latest articles