Pemandu Lori Tangki Didakwa Memandu Melulu Sehingga Dua Beranak Maut

TEMERLOH: Seorang pemandu lori tangki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas dua pertuduhan memandu secara melulu sehingga mengorbankan nyawa dua beranak dalam kemalangan di Kilometer 9 Jalan Temerloh-Triang, Jumaat lalu.

Nor Azlan Mahayudin, 37, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Adlina Abu Johan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu lori tangki secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan anaknya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12.

Kesalahan itu didakwa berlaku kira-kira jam 4 petang pada 14 Ogos lalu di lokasi kejadian.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika disabitkan kesalahan.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amal Razim Alias, manakala Nor Azlan diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazieera Sharifudin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 1 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Nur Fatima dan Fattah maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap sebuah lori tangki yang membawa muatan kira-kira 32,000 liter bahan api.

BBerkaitan

Latest articles