Pemandu Lori Rempuh Plaza Tol Bukit Kajang Direman

KAJANG: Pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan maut di Plaza Tol Bukit Kajang semalam direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abd Yusof berkata, setakat ini polis telah mengambil lima keterangan termasuk pemilik syarikat yang juga majikan kepada pemandu terbabit.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati pemandu berusia 30-an itu mendakwa terpaksa melompat keluar dari lori selepas mendapati kenderaan berkenaan mengalami masalah brek.

“Lori itu akan dihantar untuk pemeriksaan lanjut bagi menentukan punca sebenar nahas,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian jam 10.50 pagi semalam, lori berkenaan merempuh tiga kenderaan lain iaitu sebuah Nissan X-Trail milik Jabatan Kerja Raya (JKR), Honda City dan Proton X70.

Tragedi itu meragut nyawa seorang bayi lelaki berusia 12 bulan, manakala lapan lagi mangsa cedera.

Tiga ahli keluarga bayi berkenaan iaitu ibu, nenek dan kembar mangsa telah dibenarkan keluar dari Hospital Serdang.

Sementara itu, seorang penumpang Proton X70 masih dirawat di KPJ Kajang dan dua kakitangan JKR masih mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.

Naazron menjelaskan, siasatan turut mendapati lori berkenaan kali terakhir diselenggara pada April 2025.

“Pihak polis masih menyiasat sama ada benar wujud masalah brek seperti yang didakwa pemandu sehingga menyebabkan tragedi tersebut,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles