GERIK: “Saya dah cuba elak, saya dah jerit suruh mereka bersedia…” Itulah luahan sayu Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan ngeri meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi semalam.
Beliau yang turut cedera dengan tangan kiri
patah, menafikan dia memandu laju seperti yang didakwa segelintir pihak.
Sebaliknya, beliau mendakwa tragedi itu berlaku apabila sistem brek bas gagal berfungsi secara tiba-tiba semasa menuruni selekoh di laluan berhampiran Jambatan Lintasan Gajah, Gerik.
“Saya cuba pelbagai cara untuk hentikan bas, tapi sistem angin brek kosong, brek tangan pun tak berfungsi, gear tak boleh tukar. Saya hanya mampu cuba elak kenderaan lain,” katanya dipetik Harian Metro.
Ketika ini, Amirul masih mendapatkan rawatan di Hospital Taiping.
Dalam pada itu menurutnya, dia sempat menjerit memberi amaran kepada para pelajar agar bersiap sedia, namun ramai di antara mereka ketika itu sedang tidur.
“Saya sempat elak empat kenderaan termasuk lori. Tapi bila sampai selekoh tu, saya dah tak mampu kawal dan bas terbalik,” katanya dalam nada sebak.
Pemandu yang telah berkhidmat sejak 2016 itu berkata, ini merupakan kali pertama beliau terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan nyawa.
Malah, beliau masih terbayang keadaan ngeri sejurus kejadian berlaku.
“Saya pengsan sekejap. Bila sedar, saya merangkak keluar dari cermin depan yang pecah, kemudian arahkan penumpang lain selamatkan diri,” katanya.
Amirul mengakui hatinya luluh melihat pelajar-pelajar bergelimpangan, ada yang sudah tidak bernyawa.
“Saya menangis… saya rasa sangat bersalah walaupun saya dah cuba sedaya upaya,” katanya sambil memohon maaf kepada keluarga mangsa.
Sementara itu, siasatan awal polis mendapati bas yang membawa pelajar UPSI tersebut telah melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Alza sebelum terbalik di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding.