Kuala Lumpur,- Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) akan dijenamakan semula sebagai usaha memperkukuhkan peranan organisasi itu dalam menangani isu dadah di negara ini. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata langkah itu bertujuan memastikan Pemadam kekal relevan dan terus memainkan peranan penting dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah.
Menurut beliau, AADK bersama Pemadam telah mengadakan sesi sidang meja bulat pada hari ini yang melibatkan pelbagai pihak termasuk NGO, mahasiswa universiti, jabatan kerajaan, agensi AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan wakil belia. Sesi tersebut bertujuan mengumpulkan pandangan dan pendapat daripada pelbagai pihak bagi memperkasakan usaha pencegahan dadah.
“Kita mahu melihat bahawa program Pemadam harus fokus dalam menghadapi cabaran dan situasi semasa. Oleh itu, kita akan menjenamakan semula Pemadam agar tampil dengan imej, strategi dan pendekatan baharu yang lebih sesuai dengan keperluan masyarakat kini,” katanya ketika ditemui di Program Penghayatan Nilai-Nilai Murni sempena Ihya’ Ramadan agensi itu di Bangi hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa Pemadam akan menyambut ulang tahun ke-50 tidak lama lagi dan akan diadakan Mesyuarat Agung pada Julai akan datang. Penjenamaan semula ini, katanya, adalah sebagai usaha menjadikan Pemadam sebuah organisasi yang dilihat penting oleh negara dan rakyat dalam menangani isu dadah.
“Kita mahu supaya AADK dan Pemadam bersama-sama menangani dadah sebagai musuh utama negara. Kita juga menyasarkan untuk mengurangkan jumlah penagih kepada 400 orang bagi setiap 100,000 penduduk, serta memastikan kawasan berisiko tinggi menjadi kawasan hijau yang selamat,” tambah beliau.
Shamsul Anuar juga menyeru agar masyarakat terus menyokong usaha kerajaan dalam memastikan Malaysia bebas dadah dan menyatakan bahawa peranan ibu bapa serta komuniti amat penting dalam mencapai matlamat tersebut.