Pelitup Muka – Rakyat Kini Bebas Pilih Untuk Pakai Atau Tidak

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memutuskan pemakaian pelitup muka dalam bangunan, kawasan dan ruang tertutup dijadikan sebagai pilihan berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika mengumumkan perkara itu berkata ketetapan baharu itu bagaimanapun terpulang kepada pemilik premis sama ada mahu menentukan pengunjung perlu memakainya atau sebaliknya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Persatuan Perubatan Biosimilar dan Generik Antarabangsa (IGBA) – Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI), hari ini.

Bagaimanapun, Khairy menegaskan pemakaian pelitup muka masih diwajibkan di fasiliti kesihatan dan beberapa tempat lain di negara ini.

Selain wajib dipakai sekiranya positif COVID-19 atau bergejala, pelitup muka juga perlu dipakai ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang serta bas, van pekerja dan van sekolah.

“Pemakaian pelitup muka juga diwajibkan ketika berada di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis dan yang setara dengannya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles