Pelesenan Perkhidmatan Media Sosial Usaha Terbaik Lindungi Kandungan Dewasa Untuk Kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Pendedahan teknologi dalam kalangan kanak-kanak secara keterlaluan memberi kesan tidak baik untuk perkembangan fizikal, mental dan sahsiah mereka.

Timbalan Dekan (Akademik dan Pascasiswazah) Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof Madya Dr. Mohd Fahmi Mohamad Amran berkata sekiranya kandungan dalam talian tidak dikawal, semestinya akan memberi risiko kepada golongan muda ini, termasuklah akses kepada kandungan dewasa, seperti pornografi.

“Ketersediaan kandungan dewasa di Internet tanpa kawalan yang mencukupi sangat membimbangkan. Kanak-kanak yang terdedah kepada bahan seperti ini boleh mengalami gangguan emosi, perkembangan kognitif yang terganggu, dan salah faham tentang nilai moral serta etika,” ujar beliau.

Prof Madya Dr. Mohd Fahmi mengulas mengenai pelaksanaan pelesenan platform media sosial yang berkuatkuasa 1 Januari 2025, yang antara tujuannya untuk memastikan pengendali lebih bertanggungjawab dalam menguruskan platform masing-masing, di samping memastikan kandungan yang berbahaya termasuk lucah, perjudian dan penipuan dikekang.

Langkah pelesenan ini termaktub di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Sebanyak 8 platform media sosial perlu memohon lesen buat masa ini, iaitu WhatsApp, Facebook, Instagram, X (dulunya Twitter) YouTube, Telegram, WeChat dan juga TikTok.

Dalam pada itu Prof Madya Dr. Mohd Fahmi menyarankan supaya setiap penyedia perkhidmatan media sosial memperkenalkan teknologi pengesanan yang lebih canggih untuk menyekat akses kepada kandungan dewasa, terutamanya kepada pengguna di bawah umur.

“Peraturan yang ketat perlu dikuatkuasakan, dan platform harus bertanggungjawab untuk melindungi pengguna muda daripada kandungan yang tidak sesuai,” ujarnya lagi.

Selain penyedia perkhidmatan media sosial, apa yang lebih penting bagi pakar akademik ini adalah tanggungjawab setiap ibu bapa dan golongan dewasa untuk memantau aktiviti anak-anak dan kawalan penggunaan peranti.

“Kesedaran ibu bapa adalah kunci. Mereka perlu dididik tentang cara menggunakan alat kawalan ibu bapa dan mengenali tanda-tanda amaran sekiranya anak mereka terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai,” katanya.

Untuk rekod pada 9 Disember lalu, Parlimen telah meluluskan pindaan kepada Akta 588 yang antara lain meminda Seksyen 211(c) dengan menggantikan perkataan ‘seseorang’ dengan perkataan ‘pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan’ selain menggantikan perkataan ‘lima puluh ribu’ dengan perkataan ‘satu juta’.

Pindaan itu menyatakan seksyen tersebut tidak lagi terpakai kepada orang awam sebaliknya penggunaannya adalah kepada pemegang lesen CASP dengan denda dalam seksyen tersebut diselaraskan mengikut perkembangan semasa.

BBerkaitan

Latest articles