Pelesenan Media Sosial: Kawalan Dalam Kebebasan Demi Kebaikan Semua

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan terhadap pelaksanaan pelesenan platform media sosial yang berkuatkuasa 1 Januari 2025, mendapat reaksi positif dari pelbagai pihak.

Apatah lagi dalam dunia teknologi tanpa sempadan pada hari ini, tidak dapat dinafikan wujudnya kesan negatif di sebalik manfaat dan kelebihannya.

Pengarah Urusan Bintara Solutions Sdn Bhd, Ts. Nor Faiz Muhammad Noor berkata beliau menyokong penuh langkah tersebut sambil menekankan beberapa aspek kritikal yang perlu diberi perhatian.

“Pelesenan ini adalah langkah tepat untuk mengawal penyalahgunaan platform media sosial, terutama oleh penipu (scammers) yang semakin kreatif dan berleluasa.

“Pelesenan akan memastikan penyedia perkhidmatan lebih bertanggungjawab dalam memantau dan mengawal kandungan yang mencurigakan, serta mengambil tindakan terhadap aktiviti penipuan,” ujarnya.

Secara dasarnya, penggunaan Internet dan peranti bukan lagi terhad kepada golongan tertentu sahaja.

Bukan seperti dahulu, hari ini, golongan muda, seperti kanak-kanak dan remaja sudah didedahkan dari awal tentang penggunaan telefon bimbit, televisyen dan komputer.

Penggunaan tanpa kawalan pastinya memberi kesan negatif kepada mereka, apatah lagi sekiranya penyedia perkhidmatan tidak ambil kisah dengan kandungan dan profil penggunanya.

“Pada masa ini, penyedia perkhidmatan tidak cukup agresif dalam menyemak kandungan dan profil pengguna. Fokus mereka sering kali lebih kepada pengumpulan data pengguna tanpa menitikberatkan keselamatan,” tambah Nor Faiz.

Sehubungan itu Nor Faiz menegaskan keperluan untuk meningkatkan pemahaman tentang had umur penggunaan media sosial dalam kalangan ibu bapa.

“Platform yang berlesen boleh diwajibkan untuk mendidik ibu bapa dan memastikan pengguna mematuhi syarat umur yang ditetapkan.

“Masih terdapat kes-kes di luar negara di mana penyedia perkhidmatan disaman kerana melanggar privasi pengguna. Ini menimbulkan persoalan mengenai kebolehpercayaan mereka. Pelesenan dapat mengawal selia standard operasi dan memastikan mereka mematuhi peraturan privasi yang ketat,” tegasnya lagi.

Terdahulu kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan pelesenan platform media sosial, berkuatkuasa 1 Januari 2025.

Dengan langkah ini, semua platform media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna diperlukan mempunyai lesen untuk beroperasi di Malaysia, selaras dengan akta yang ditetapkan.

Tujuan langkah ini diambil adalah supaya setiap pengendali lebih bertanggungjawab dalam menguruskan platform masing-masing, di samping memastikan kandungan yang berbahaya termasuk lucah, perjudian dan penipuan dikekang.

Sehingga kini, sebanyak 8 platform media sosial diperlukan untuk memohon lesen buat masa ini, iaitu WhatsApp, Facebook, Instagram, X (dulunya Twitter), YouTube, Telegram, WeChat dan juga TikTok.

Dalam pada itu Nor Faiz percaya langkah pelesenan ini bukan sahaja memastikan keselamatan pengguna, tetapi juga mewujudkan persekitaran digital yang lebih bertanggungjawab dan selamat di Malaysia.

“Langkah ini penting untuk melindungi pengguna, terutama golongan rentan seperti kanak-kanak, dan mengukuhkan keyakinan terhadap penyedia perkhidmatan dalam talian,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles