Pelbagai Usaha Digerakkan MAFI Untuk Jamin Sekuriti Makanan

KUALA LUMPUR: Dengan jangkaan peningkatan sehingga 45 juta rakyat Malaysia menjelang 2050, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) giar melaksanakan pelbagai usaha bagi menjamin sekuriti makanan negara terutama dalam menampung keperluan rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata usaha itu bukan sekadar dalam jangka masa pendek atau sederhana, sebaliknya berpanjangan bagi memastikan kestabilan bekalan makanan yang diperlukan.

“Sebagai contoh dalam tanaman padi, kita banyak mengolah dan menggunakan pendekatan SMART SBB (program SMART Sawah Berskala Besar) bagi memasukkan elemen teknologi dan pengurusan lebih efisyen untuk memastikan kebergantungan 30 peratus keperluan beras negara itu, dapat kita tampung melalui pengurusan ladang sedia ada.

“Dalam sektor perikanan pula, kita ada program adaptasi, mekanisasi dan automasi program untuk meningkatkan kelas lesen (nelayan) dari kelas A kepada B, C dan sebagainya. Jadi ini antara langkah yang diambil kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Pelancaran Sistem MyWalet Bagi Industri Burung Walet di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), hari ini.

Penduduk Malaysia diunjurkan meningkat kepada lebih 45 juta menjelang 2050 sekali gus bakal meningkatkan permintaan dan penggunaan terhadap makanan dan menimbulkan pelbagai cabaran termasuk ketidakamanan makanan.

Kebimbangan itu disuarakan Pensyarah Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Norsida Man, yang menyatakan perkara itu secara tidak langsung menimbulkan isu sekuriti makanan yang dikategorikan sebagai antara ancaman daripada perspektif keselamatan manusia di peringkat global.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, isu sekuriti makanan bukan sahaja berdepan cabaran berikutan pertumbuhan penduduk, malah pelbagai bentuk lain seperti perubahan iklim, cuaca, kemarau, kekurangan buruh asing, banjir serta penyakit.

Katanya, itu antara sebab pelbagai langkah dan tindakan diambil kerajaan bagi meningkatkan Status Kadar Sara Diri (SSL) negara.

“Jadi sekuriti makanan negara adalah isu yang diambil perhatian secara khusus oleh kerajaan apatah lagi apabila dunia masih belum pulih akibat pandemik COVID-19 dan diburukkan lagi konflik geopolitik dunia.

“Kita berhadapan dengan pelbagai dasar dari negara luar termasuk dasar perlindungan di mana mereka mengurangkan eksport sedia ada ke negara lain, umpamanya dari negara luar ke negara kita,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan, MAFI akan sentiasa memastikan bekalan makanan negara stabil dan boleh diperoleh dalam jangka masa panjang.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,513FollowersFollow
20,100SubscribersSubscribe

Terkini