KUALA LUMPUR: Seorang pelawak yang didakwa kantoi membawa bahan larangan semasa dalam perjalanan menunaikan umrah di Jeddah, Arab Saudi, Oktober lalu, kini sedang menjalani hukuman penjara di negara berkenaan.
Sumber memaklumkan hukuman berkenaan dijatuhkan ketika perbicaraannya November lalu.
Bagaimanapun pelawak itu dipercayai akan dibebaskan lebih awal dari tempoh yang ditetapkan sekiranya berkelakuan baik.
“Berdasarkan penghakiman, dia dijangka selesai menjalani hukuman penjara itu pada April ini,” katanya memetik BH hari ini.
Sebelum ini, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh mengesahkan penahanan seorang rakyat Malaysia di Jeddah, selepas disyaki terbabit memiliki dadah jenis ganja namun tidak mendedahkan identitinya.
Sejak penahanannya, Kedutaan Besar Malaysia dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah memberikan bantuan konsular kepada artis berkenaan.