KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh mengesahkan seorang rakyat Malaysia, yang juga seorang pelawak telah ditahan di Jeddah, Arab Saudi.
Kedutaan Besar Malaysia dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah memaklumkan pihaknya telah memberikan bantuan konsulat kepada artis berkenaan.
Memetik laporan BH, pihak Kedutaan Malaysia di Riyadh bagaimanapun tidak memberikan butiran terperinci identiti individu yang ditahan.
“Atas pelbagai faktor, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, kesal kerana tidak dapat memberikan butiran lain perkara itu,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelawak popular ditahan di Jeddah kerana dipercayai memiliki dadah jenis ganja ketika dalam perjalanan menunaikan umrah, baru-baru ini.
Pelawak itu dipercayai ditahan dua bulan lalu di Lapangan Terbang Jeddah dan masih berada dalam tahanan bagi tujuan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Difahamkan, pelawak berkenaan menunaikan umrah bersama rakan-rakannya, namun ditahan selepas disyaki membawa bahan terlarang.
Bagaimanapun, pelawak berkenaan dilihat masih aktif dalam media sosial dengan beberapa hantaran baharu dimuat naik, namun kandungan itu dipercayai diuruskan oleh pasukan pengurusannya.
Malah, pelawak berkenaan dikatakan bakal muncul dalam satu program televisyen yang dirakam lebih awal sebelum insiden penahanan berlaku.