Pelantikan Naib Canselor Institusi Pengajian Tinggi Awam Perlu Dilakukan Dengan Teliti Dan Bijaksana

Naib Canselor adalah merupakan Pegawai Ketua Eksekutif bagi institusi pengajian tinggi (IPT) awam mahupun swasta. Wawasan dan kepimpinan seseorang Naib Canselor adalah sangat penting dalam memastikan kelestarian dan kejayaan sesebuah IPT.

Selaras dengan peruntukan undang-undang yang digariskan dalam Seksyen 4(A), Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (Pindaan 2019), Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi telah diberi kuasa mutlak untuk melantik seseorang Naib Canselor. Secara dasarnya, Kementerian Pengajian Tinggi mempunyai garis panduan yang teliti dan telus dalam proses melantik seseorang Naib Canselor.

Baru-baru ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di dalam Sektor Awam (CEUPACS) secara lantang menyuarakan kekecewaan badan tersebut dalam isu kelewatan melantik jawatan tertinggi itu di lima IPTA negara. Menurut Presiden kongres tersebut, kelewatan ini dikhuatiri akan menganggu pentadbiran universiti tersebut.

Secara asasnya, proses lantikan Naib Canselor, merupakan suatu proses yang rumit dan memerlukan ketelitian dan kebijaksanaan. Kegagalan untuk melantik individu yang berkelayakan akan akhirnya memaksa Menteri untuk menggunakan kuasa yang diperuntukan kepadanya untuk memberhentikan atau memendekkan kontrak lantikan seseorang Naib Canselor. Maka menjadi tanggungjawab kepada Menteri untuk meneliti dan memilih individu yang layak untuk menjawat jawatan ini.

Atas dasar itu, pihak kementerian menggariskan tempoh masa 6 bulan untuk melaksanakan proses pelantikan seseorang Naib Canselor. Proses libat urus yang terbuka, profesional dan kolektif akan dijalankan dengan mengambil kira pandangan dan cadangan daripada pemegang taruh-pemegang taruh universiti yang terlibat. Selain itu, pandangan dan cadangan daripada pihak persatuan pekerja, staf akademik dan pelajar serta alumni turut diambil perhatian.

Malah di universiti-universiti luar negara, tempoh masa yang lebih lama telah diperuntukan untuk sesuatu proses lantikan seseorang Naib Canselor dilakukan. “Proses lantikan Naib Canselor di UK berlaku di antara tempoh 9 sehingga 12 bulan. Sebagai contoh, University of Bristol, UK mereka memperuntukan tempoh masa 1 tahun untuk memilih Naib Canselornya. Di UAE, tempoh masa yang lebih kurang sama juga diperuntukan untuk melantik seseorang Presiden di universiti awamnya” kata Profesor Madya Dr. Kamarul Faizal, pensyarah Malaysia yang sedang berkhidmat di University of Dubai, UAE.

Menurut beliau, perkara utama yang perlu dipertimbangkan dalam proses lantikan ini adalah pemilihan individu yang tepat dan layak. Individu-individu yang menggunakan talian hayat politik sebagai kaedah menawarkan diri secara terbuka sebagai calon Naib Canselor sewajarnya tidak diberi pertimbangan oleh Yang Berhormat Menteri. “Budaya melobi secara keterlaluan dan terbuka ini harus diberhentikan.

Universiti adalah sebuah institusi yang membentuk peradaban dan nilai. Universiti perlu menjadi suri tauladan dengan memberi contoh yang baik. Ia dapat dimulakan dengan pelantikan Naib Canselor yang dilakukan secara terbuka dan profesional”.

 

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Advertisment

Terkini