Pelantikan Kabinet Hak PM, Rakyat Akan Tentukan Nasib Kerajaan

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berpandangan tidak timbul keperluan untuk mempertikaikan pelantikan barisan Kabinet kerana ia merupakan pasukan atau “baju” yang dipilih Perdana Menteri bagi memimpin negara.

Menurut beliau, menteri yang dilantik perlu membuktikan keupayaan masing-masing melalui prestasi kerja, kerana rakyat mempunyai kuasa untuk menghukum pada pilihan raya sekiranya mereka gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

“Kalau sebelum dilantik janji bukan main lagi, sudah memegang jawatan jangan pula lupa segala janji yang pernah ditaburkan. Rakyat bukan tidak tahu menilai,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Akmal menjelaskan bahawa pelantikan menteri adalah hak prerogatif Perdana Menteri, termasuk melantik individu yang bukan dalam kalangan wakil rakyat sekiranya dirasakan layak dan mampu menyumbang kepada pentadbiran kerajaan.

Katanya, setiap menteri yang dilantik membawa imej serta mencerminkan hala tuju dan visi Perdana Menteri, justeru tanggungjawab mereka bukan sekadar memegang jawatan, sebaliknya memastikan amanah rakyat dilaksanakan sebaik mungkin.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan barisan menteri baharu supaya tidak leka atau mengeluarkan kenyataan tidak berfikir yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat, sebaliknya menumpukan sepenuh masa untuk bekerja demi kepentingan rakyat.

“Negara ini ada undang-undang dan Perlembagaan yang wajib dihormati. Bukan bila sudah jadi menteri, semuanya mahu dilanggar. Jika tidak, itu mungkin penggal pertama dan terakhir kamu sebagai menteri,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles