Pelancongan Malaysia Catat 38 Juta Pelawat, VM2026 Sasar 47 Juta

PUTRAJAYA: Sektor pelancongan negara terus mencatat kebangkitan positif apabila menerima 38 juta pelawat antarabangsa pada tahun lalu, meningkat 31.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata pelancongan domestik turut mencatat angka memberangsangkan dengan 260.1 juta kunjungan dalam negara pada tahun sama, menjadikan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan utama pelancong dunia.

Menurutnya, pencapaian itu menjadi pemangkin kepada penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang menyasarkan 47 juta pelancong antarabangsa dengan perbelanjaan lebih tinggi, tempoh tinggal lebih lama dan limpahan ekonomi lebih meluas kepada rakyat.

“Fokus utama adalah memperkukuh promosi, menjalin kerjasama dengan syarikat penerbangan serta agensi pelancongan, selain menembusi pasaran baharu melalui tawaran unik seperti ekopelancongan, beli-belah dan tarikan bermusim,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Induk VM2026 Bil. 1/2025.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan, kejayaan VM2026 hanya akan tercapai dengan sokongan semua pihak.

“Insya-Allah, bersama-sama kita akan menjulang nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles