Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) Sudah Dipersetujui oleh Kabinet, Dijangka Dilancar Pada November Ini – Chang

KUALA LUMPUR: Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) dijangka dilancarkan pada November ini iaitu sebelum bermulanya Persidangan Pihak-pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim ke-28 (UNFCCC 28) yang dijadualkan dari 30 November hingga 12 Disember di Dubai.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata HETR ini telah dipersetujui di peringkat Kabinet dan Majlis Sains Negara.

“Kita akan lancar sebelum COP28 (Persidangan Perubahan Iklim PBB 2023, UNFCCC COP 28) November ini.

“Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) memainkan peranan yang sangat penting terutamanya dalam menangani isu global, kerana ini adalah perubahan iklim.

“Sebenarnya kita boleh lihat walaupun ekonomi tidak berada dalam keadaan baik tetapi penjanaan tenaga boleh diperbaharui masih kelihatan baik dan seperti yang saya sebut dalam ucapan tadi 60% kapasiti diperbaharui dalam Asia.

“Kami juga sedang melihat kepada perkongsian awam-swasta bagi merancakkan usaha dan inisiatif ini dalam tenaga boleh diperbaharui,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Kongres Tenaga Boleh Diperbaharui Dunia (WREC) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

WREC dengan tema “Peralihan Ke Arah Masa Depan Bebas Karbon” berlangsung selama lima hari bermula semalam.

Kongres antarabangsa itu mengumpulkan saintis, penggubal dasar, pemain industri terutamanya tenaga boleh diperbaharui, pelajar serta wakil masyarakat tempatan dan seluruh dunia.

Acara ini juga merupakan platform penting untuk peneroka teknologi dan kerjasama, serta perkongisan inovasi baharu dan amalan terbaik dalam perlaihan tenaga untuk mencapai sasaran penyahkarbonan.

Sementara itu, menerusi ucapan Chang berkata, di MOSTI, pihaknya percaya bahawa hidrogen boleh menjadi sumber tenaga yang penting sebelum dekad akan datang, disampaikan oleh teknologi inovasi dan didorong oleh perancangan yang sistematik.

Tambah beliau, HETR yang bakal dilancarkan tidak lama lagi juga bukan sekadar pelan hala tuju untuk penyahkarbon melalui hidrogen, tetapi juga dokumen hidup untuk teknologi baharu dan inovasi dalam peralihan tenaga.

“HETR adalah jawapan MOSTI untuk menangani tiga cabaran tenaga iaitu kebolehpercayaan, kemampuan, dan kemampanan sambil mencapai sasaran penyahkarbon.

“Kami mengalu-alukan penyertaan dan kerjasama rakan kongsi antarabngsa dan pihak berkepentingan dalam merealisasikan potensi pelan hala tuju ini,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai loji hidrogen pertama di Sarawak, Chang berkata ia telah dibangunkan dan dijangka mula beroperasi pada tahun ini.

Menurut beliau kerajaan juga bercadang untuk mendirikan loji hidrogen kedua di Semenanjung tetapi akan mengumumkan butirannya kemudian.

BBerkaitan

Latest articles