Pelakon Nadia Kesuma Hilang Jejak Selepas Tiba Di Jeddah

KUALA LUMPUR: Pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta, Nadia Kesuma dilaporkan gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, sejak malam semalam.

Perkara itu didedahkan oleh rakan baiknya yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS), Anne Abdullah, selepas dihubungi suami Nadia yang mula bimbang apabila isterinya tidak dapat dihubungi.

Menurut Anne, Nadia menaiki penerbangan menerusi sebuah agensi pelancongan bagi menyertai pakej umrah khas yang turut melibatkan lawatan ke beberapa negara termasuk London.

“Dia sempat mesej suaminya beritahu selamat sampai di Jeddah. Selepas itu, dia sepatutnya sambung penerbangan ke London.

“Tapi pihak agensi maklumkan dia tidak menaiki pesawat ke London dan sejak itu telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi,” katanya.

Anne menjelaskan, rekod menunjukkan nama Nadia ada di Jeddah, namun tiada daftar masuk untuk penerbangan ke London, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada dia masih berada di Jeddah atau sudah ke lokasi lain.

Lebih membimbangkan, sebelum terputus hubungan, Nadia sempat menghantar mesej kepada suaminya dengan ayat ringkas bahawa dia “berjumpa orang yang tidak dikenali”.

“Selepas itu terus senyap. Mesej masih ‘delivered’ tapi tiada balasan,” katanya.

Anne turut mengakui terkejut apabila mengetahui Nadia pergi bersendirian, kerana sebelum ini menyangka dia ditemani suami.

“Pakej yang dia ambil memang popular sekarang, umrah dan ziarah Eropah seperti Paris dan London. Ramai guna pakej macam ini,” katanya.

Susulan kejadian itu, Anne memaklumkan beliau akan membuat laporan polis dalam masa terdekat bagi membantu mengesan kedudukan sebenar Nadia.

BBerkaitan

Latest articles