Seorang pelakon drama dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ampang hari ini atas dakwaan memikat isteri orang dan mengajak melakukan persetubuhan.
Muhammad Shah Radhi Hazvee, 24, atau dikenali dengan nama pentas Shah Hazvee, memakai baju T berbelang kelabu hitam dan seluar khakis, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.
Menurut kertas pertuduhan, pelakon drama ‘Monalisa’ dan ‘Hero’ itu didakwa memikat isteri orang berusia 36 tahun dan supaya wanita itu melakukan persetubuhan dengannya.
Muhammad Shah Radhi didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Seksyen itu adalah kesalahan iaitu memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan niat jenayah. Dia turut didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu Kelakuan Aib.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya S Sangitaa menawarkan jaminan RM6,000 kepada tertuduh, bagaimanapun peguamnya Harcharanjit Singh memohon supaya anak guamnya dijikat jamin dengan wang jaminan berjumlah RM2000.
BACA JUGA – Wak Doyok Mengaku Tidak Bersalah Guna Lambang Sultan Johor
Beliau berkata, tujuan jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.
Katanya, anak guamnya adalah seorang artis dan tiada sebab untuk melarikan diri.
Farah Nasihah membenarkan Muhammad Shah Radhi diikat jamin dengan wang jaminan RM2300 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes berkenaan ditetapkan pada 8 Ogos nanti.
Difahamkan bahawa pelakon itu dijamin oleh kakaknya. – TRI