Pelajar Wanita Maut Terjatuh Dari Tingkat 33 Selepas Panjat Tingkap Tandas

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar wanita warganegara asing ditemui maut dipercayai tergelincir dari tingkat 33 sebuah pangsapuri di Kajang semalam.

Ketua Polis Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada kira-kira 6.34 petang semalam bahawa seorang penuntut universiti awam tempatan ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di koridor tingkat 12 pangsapuri tersebut.

Menurut Naazron, pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan remaja itu telah meninggal dunia.

“Hasil pemeriksaan dan siasatan yang dijalankan dapati mangsa merupakan warganegara asing berumur 19 tahun … seorang pelajar di sebuah universiti awam tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Mangsa dipercayai tergelincir dari tingkat 33 (pangsapuri) tersebut dalam usaha keluar melalui tingkap tandas kerana kerosakan pintu tandas lalu terjatuh ke koridor tingkat 12.”

Naazron berkata, kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR) dan hasil bedah siasat di Hospital Serdang pada 10 pagi hari ini mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan ‘pelbagai kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi’.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian agar tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ketua Polis Balai Bandar Baru Bangi Mohd Nasri Tesnoh menerusi talian 017-7102042 bagi membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles