Pelajar Tingkatan Empat Mengaku Salah 14 Pertuduhan Serangan Seksual Di Asrama

PARIT: Seorang pelajar lelaki tingkatan empat di sebuah sekolah berasrama mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada Rabu atas 14 pertuduhan membabitkan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap rakan sekolahnya.

Pengakuan itu dibuat selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.

Remaja berusia 16 tahun itu didakwa melakukan 10 pertuduhan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa berusia 14 tahun, di sebuah bilik asrama di Kampung Gajah, Perak Tengah, antara 3 hingga 27 November lalu.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, dia boleh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Selain itu, tiga lagi rakan tertuduh yang turut dihadapkan ke mahkamah mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan lain yang melibatkan tindakan sama terhadap mangsa pada tarikh berasingan antara 30 Oktober hingga 30 November 2025.

Keempat-empat remaja itu turut berdepan pertuduhan amang seksual fizikal mengikut Seksyen 14(a) Akta 792, yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM5,500 kepada tertuduh utama sementara tiga lagi pelajar diberi jaminan RM2,000 setiap seorang.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Februari depan bagi laporan akhlak, lantikan peguam dan serahan dokumen.

BBerkaitan

Latest articles