PETALING JAYA: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut selepas dipercayai ditikam oleh pelajar lelaki Tingkatan Dua dalam kejadian mengejutkan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, pagi tadi.
Menurut sumber, insiden berlaku sekitar jam 9.30 pagi apabila suspek didakwa membawa senjata tajam, dipercayai sebilah pisau, ke dalam kawasan sekolah sebelum menyerang mangsa.
“Suspek bukan sahaja menikam pelajar perempuan tersebut, tetapi turut mencederakan seorang lagi pelajar,” katanya.
Difahamkan, pihak polis segera bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian serta bagaimana suspek memperoleh senjata tersebut.
Setakat ini, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat bersama pegawai penyiasat berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.