Pelajar Senior Dakwa Bangun Awal Untuk Cuci Kain Sebelum Temui Zara Qairina

KOTA KINABALU: Pengawal keselamatan yang bertugas pada malam insiden membabitkan Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa pelajar senior yang memaklumkan kepadanya mengenai penemuan mangsa, mendakwa dia bangun awal kerana mahu mencuci pakaian.

Linah Mansoding @ Jaliha, 65, berkata pelajar senior berkenaan merupakan individu pertama menemukan pelajar Tingkatan Satu itu dalam keadaan tidak sedarkan diri, pada 16 Julai lalu.

Ibu kepada empat anak itu berkata demikian ketika disoal peguam Joan Goh, yang mewakili seorang remaja didakwa membuli si mati, pada hari ketujuh inkues kematian remaja berkenaan.

Goh: Apabila pelajar senior itu lari cari puan, masa itu, puan tahu dia di mana? Maksud saya, pada kali pertama pelajar itu nampak arwah.

Linah: Kira-kira pukul 3 pagi…dia cakap dengar macam benda jatuh, dia mahu cuci kain…dia bangun awal sebab panjang giliran, dia mahu cuci kain tapi dia dengar macam ada benda jatuh, dia tengok, terus dia panggil saya.

Sementara itu, ketika disoal peguam Nurul Rafiqah Afdul Mutolip, yang mewakili bapa Zara, Linah berkata, kebiasaannya pelajar asrama mencuci pakaian sekitar 10 malam, iaitu selepas sesi ‘prep’ (kelas malam), sama ada bersama rakan atau secara sendiri.

Nurul Rafiqah: Sepanjang pengalaman puan, adakah biasa pelajar berjalan di pekarangan asrama sekitar pukul 2 pagi?
Linah: Tidak, kalau pukul 2 pagi jarang, tidur sudah.

Nurul Rafiqah: Pernahkah pelajar-pelajar mencuci pakaian pada pukul 2 pagi?

Linah: Tidak pernah.

Nurul Rafiqah: Sebelum ini, puan ada pernah nampak pelajar senior itu mencuci pakaian sekitar pukul 2 pagi?

Linah: Tidak pernah.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung Rabu depan.

Zara meninggal dunia pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth.

Pelajar itu dimasukkan ke hospital berkenaan sehari sebelum, setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan pihak polis, manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

BBerkaitan

Latest articles