KUALA LUMPUR: Bermula April ini, kesemua pelajar sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia akan diwajibkan memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam.
Sehubungan itu Kementerian Pendidikan (KPM) akan membekalkan lencana Jalur Gemilang sebanyak dua unit secara percuma bagi semua pelajar untuk sesi persekolahan 2025/2026.
Kementerian itu berkata inisiatif ini susulan langkah KPM melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar di institusi pendidikan bawah kelolaannya berkuat kuasa mulai 21 April 2025 secara berperingkat.
“Ini akan membabitkan semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.
“Sebagai permulaan, setiap murid akan dibekalkan dua lencana Jalur Gemilang secara percuma untuk sesi persekolahan 2025/2026.
“Garis panduan pemakaian lencana telah disediakan bagi memastikan keseragaman pelaksanaan di semua institusi pendidikan bawah kelolaan KPM,” katanya.
KPM menegaskan bahawa sekolah bukan sekadar pusat pembelajaran, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memupuk jati diri serta semangat nasionalisme dalam kalangan generasi muda.