KUALA LUMPUR: Polis Perak meminta bantuan orang ramai memberi maklumat berkenaan kehilangan tiga remaja perempuan termasuk seorang pelajar Politeknik Ungku Omar yang dilaporkan hilang sejak Oktober tahun lalu.
Remaja berkenaan adalah, Nurul Syuhada Muksin, 18; K Ashwinia, 15; dan Shomina, 16.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, Nurul Syuhada dipercayai kali terakhir dikesan pukul 5.30 pagi pada 9 Oktober lalu.
“Remaja perempuan itu dilaporkan telah keluar dari Asrama Politeknik Ungku Omar dengan membawa beg pakaian.
“Nurul Syuhada yang bertubuh kurus itu beralamat di Bandar Botanic, Klang Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan pelajar berkenaan turut membawa bersama komputer peribadi, kunci lokar dan kad pelajar miliknya.
Dalam pada itu, Abang Zainal Abidin memberitahu, Ashwinia yang juga pelajar Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tasek telah dilaporkan hilang pada 25 Disember lalu di Balai Polis Bercham.
Menurut beliau, remaja perempuan berkenaan yang bertubuh kecil itu beralamat di Taman Syabas, dekat sini.
Pada masa sama Abang Zainal Abidin berkata, Shomina yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dilaporkan hilang pada 24 Disember lalu.