SUNGAI PETANI: Seorang pelajar lelaki tingkatan empat ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas asrama sebuah sekolah dipercayai akibat dipukul sekumpulan pelajar, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata ibu mangsa mengetahui kejadian itu selepas dihubungi guru pada 9.05 pagi.
“Ibu mangsa memaklumkan anaknya telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan kejadian berlaku pada tengah malam membabitkan beberapa pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hanyan berkata berdasarkan siasatan awal, mangsa dikatakan memburuk-burukkan kawan kepada seorang pelajar yang kemudiannya mengajak tiga rakan untuk bertemu mangsa.
“Berlaku pergaduhan antara mereka dan mangsa mengalami lebam pada badan,” katanya.
Hanyan berkata empat pelajar lelaki berusia 16 dan 17 tahun ditahan dengan seorang remaja 16 tahun direman tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan.
— BERNAMA










