KUALA LUMPUR: Polis Pulau Pinang kini sedang melengkapkan kertas siasatan dakwaan seorang pelajar yang mencabul 14 rakan-rakan sekolahnya sebelum diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata pihaknya juga telah selesai merakam keterangan 12 pelajar berstatus orang kelainan upaya (OKU) itu yang menjadi mangsa cabul rakan di asrama sebuah sekolah menengah, dalam kejadian pada 1 Disember lalu.
“Suspek yang juga pelajar berusia 13 tahun itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas kita selesai rakam keterangannya.
“Selain itu, polis juga sudah merakamkan keterangan 12 pelajar berusia 13 dan 14 tahun yang didakwa menjadi mangsa cabul suspek manakala keterangan dua lagi pelajar akan direkodkan dalam masa terdekat.
“Kita jangka kertas siasatan berhubung kes ini dapat diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam minggu ini,” katanya memetik MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Mohd Asri, berdasarkan keterangan mangsa, kejadian itu dilaporkan berlaku pada Oktober lalu.
Media pada baru-baru ini melaporkan, seorang pelajar Tingkatan Satu ditahan polis pada 1 Disember selepas didakwa mencabul 14 pelajar orang kelainan upaya (OKU) di asrama sebuah sekolah menengah di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, tangkapan ke atas remaja lelaki yang juga OKU berusia 13 tahun itu dibuat selepas polis menerima aduan daripada pengetua sekolah terbabit.
Jelas beliau, seramai 14 mangsa berusia antara 13 dan 14 tahun yang mengalami masalah pembelajaran, penglihatan, pendengaran serta autisme dilaporkan menjadi mangsa cabul suspek.