KUALA LUMPUR: Kehilangan seorang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pekan akhirnya terjawab apabila remaja berusia 13 tahun itu ditemui selamat di rumah saudaranya di Chukai, Terengganu pagi tadi.
Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dengan berkata, pelajar lelaki itu dilaporkan hilang semalam selepas keluar dari rumah keluarganya di Kuantan tanpa pengetahuan ibu bapanya.
“Laporan kehilangan diterima pada pukul 4 petang semalam. Siasatan awal dan temuramah bersama keluarga mendapati kemungkinan besar pelajar ini menuju ke rumah ahli keluarga,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan IPK Pahang, hari ini.
“Alhamdulillah, kira-kira jam 7 pagi tadi kita berjaya mengesan dan menemui pelajar tersebut dalam keadaan selamat di rumah saudaranya di Chukai.”
Menurut Yahaya, pihak polis akan merakam keterangan pelajar terbabit bagi melengkapkan siasatan dan mengetahui bagaimana dia pergi ke rumah saudaranya di negeri jiran.
“Apa yang penting, dia telah ditemui dalam keadaan baik dan tiada perkara buruk berlaku,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan kehilangan pelajar bernama Anas Baihaqi Miqdad Johari disedari ibunya kira-kira jam 4 petang semalam apabila mendapati anaknya tiada di bilik tidur.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu berkata, kali terakhir remaja itu dilihat berada di rumah pada jam 3.30 petang.
“Pengadu kemudian menyedari anaknya hilang dan cuba mencarinya di sekitar kawasan perumahan tetapi gagal. Mangsa turut membawa telefon bimbit adiknya, kasut sukan, beg galas sekolah dan wang tunai kira-kira RM200,” katanya.