Pelajar Malaysia di UK Sambut Baik MoU USANITA-Oxford, Harapkan Manfaat Lebih Luas

Oxford, United Kingdom – Pelajar Malaysia di United Kingdom menyambut baik usaha USANITA dalam membina kerjasama strategik berimpak tinggi dengan Sekolah Perniagaan Saïd, Universiti Oxford melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU).

Mereka berharap inisiatif ini bukan sahaja membuka peluang dalam akademik, keusahawanan, dan profesionalisme, tetapi juga meluaskan akses kepada pendidikan bertaraf dunia serta meningkatkan daya saing graduan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Harapan Mahasiswa Malaysia di UK

Presiden Badan Perhubungan Negara London, Muhammad Aliff Najmi Azizi, menyifatkan kerjasama ini sebagai satu langkah penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala serta memberi nilai tambah kepada graduan Malaysia.

Beliau turut berharap agar modul pembelajaran yang diperkenalkan merangkumi bidang kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan pelajar Malaysia kekal relevan dalam Revolusi Industri 4.0.

“AI kini menjadi asas dalam pelbagai sektor seperti kejuruteraan, kesihatan, perniagaan dan kewangan. Kursus sebegini akan memberikan kelebihan kompetitif kepada pelajar Malaysia dalam kerjaya dan perniagaan,” katanya.

Presiden Persatuan Malaysia dan Singapura (MASSOC) Sheffield, Danial Haironnine, turut menzahirkan penghargaan kepada USANITA atas usaha membina hubungan dengan institusi pendidikan berprestij seperti Universiti Oxford.

“Kejayaan ini membuktikan rakyat Malaysia mampu menembusi platform global dengan strategi yang tepat. Kolaborasi ini bukan sahaja memberi akses kepada pendidikan berkualiti tinggi tetapi juga memperkukuh jaringan akademik dan profesional antara Malaysia dan UK,” katanya.

USANITA Komited Menyokong Pembangunan Pelajar Malaysia

Sempena pemeteraian MoU ini, USANITA menganjurkan majlis minum petang di sebuah restoran terkenal di Oxford, yang dihadiri oleh pelajar dari pelbagai universiti termasuk Oxford, York, Sheffield, Warwick, dan London.

Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datin Seri Adzliana Hasan, menegaskan bahawa pihaknya sentiasa mendengar maklum balas bagi memastikan program yang ditawarkan sejajar dengan keperluan semasa dan masa depan.

“Kami percaya bahawa pelajar Malaysia adalah aset negara yang perlu diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan agar mampu bersaing di peringkat global,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa USANITA komited dalam menyokong pembangunan sahsiah, kepimpinan, dan kemahiran profesional pelajar Malaysia melalui program yang dirancang di Universiti Oxford.

Masa Depan Kolaborasi USANITA-Oxford

Kolaborasi ini dijangka membuka ruang yang lebih besar kepada rakyat Malaysia dalam pelbagai bidang, selain meletakkan Malaysia sebagai negara yang serius dalam membangunkan modal insan bertaraf dunia.

Dengan keterlibatan pelajar Malaysia dalam program ini, MoU ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama antara Malaysia dan institusi global lain dalam usaha memperkasakan bakat muda negara.

BBerkaitan

Latest articles